SEJARAH SEKOLAH


SK. Naka telah ditubuhkan dan dirasmikan pada 08.03.1954. Namanya diambil sempena nama tempat iaitu NAKA. Sekolah ini merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan. Lokasi sekolah ini terletak di  perkampungan Melayu dan Thai, oleh itu murid-muridnya terdiri daripada keturunan Melayu dan Thai.
           SK. Naka merupakan sekolah terawal di kawasan Naka. Pada suatu ketika di awal tahun 1980-an sekolah ini dijadikan sekolah tumpang untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Naka, sementara menanti siapnya bangunan baru sekolah tersebut. Selepas itu sekolah ini  dijadikan pula sekolah tumpang untuk murid SK. Lamdin selama beberapa bulan sementra menanti siapnya bangunan sekolah itu di Kampung Lamdin.
Pada tahun 1990, SK. Naka dijadikan Sekolah Pendidikan Islam (SPI) untuk memberi pendidikan agama kepada murid-murid beragama Islam pada sebelah petang dari Tahun 3 hingga 6. Guru-gurunya pula terdiri daripada guru-guru agama yang dibekalkan oleh Majlis Agama Islam Kedah.
Sekolah ini sentiasa mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Berbagai kemudahan disediakan, antaranya ialah padang permainan, makmal sains, makmal komputer bilik kemahiran hidup, bilik sains, bilik PSS, surau, kantin dan rumah guru.
Pada tahuan 1998, akibat daripada pertambahan murid secara mendadak, maka sekolah ini terpaksa mengadakan dua sesi pengajian iaitu pagi dan petang akibat daripada kekurangan bilik darjah. Keadaan ini dapat diatasi pada tahun 2002 dengan terbinannya sebuah bangunan baru 4 tingkat yang dapat menampung 12 buah bilik darjah, sebuah makmal sains, sebuah bilik kemahiran hidup dan sebuah dewan terbuka.
           Daripada sebuah sekolah kecil pada suatu ketika dahulu, kini sekolah ini sudah menjadi sekolah Gred A dengan bilangan murid mencecah 659-an orang. Tenaga pengajarnya seramai 50 orang, 9 orang kakitangan pejabat dan staf sokongan, 4 orang pengawal keselamatan (swasta), dan 6 orang pembersih kawasan (swasta).

Hasil daripada pengurusan pentadbiran yang mantap dan juga kerjasama yang baik di kalangan masyarakat setempat terutamanya melalui PIBG, sekolah ini dapat ditadbir dengan baik dan sempurna.